me & family

me & family
Lilypie Pregnancy tickers

Followers

Thursday, March 13, 2008

KEHAMILAN KEMBAR

Sebahagian kecil wanita memang bernasib baik kerana mereka bukan sahaja boleh mengandung, tetapi kandungan itu kembar pula.
Kehamilan kembar berlaku sekali dalam setiap lapan puluh kehamilan. Kejadian ini biasanya berlaku secara spontan dan tidak siapa boleh mengawal kejadian ini. Tegasnya seesorang tidak boleh membuat apa-apa untuk menentukan kehamilannya kembar walaupun dia benar-benar inginkannya. Kelahiran kembar seringkali berlaku berulang kali dalam sesuatu keluarga. Dalam hal-hal lain, ia ada kaitan dengan keturunan bagi menentukan kejadian kehamilan kembar ini.

Mengapa Kehamilan Kembar Berlaku?

Dewasa ini dengan penggunaan ubat penyubur, kejadian kehamilan kembar dan berganda (multiple pregnancy) meningkat sedikit. Misalnya dengan menggunakan ubat penyubur clomiphene iaitu sejenis pil yang diberi kepada wanita yang kurang subur, kadar kejadian kehamilan kembar di kalangan mereka ialah lebih kurang empat hingga lima peratus. Dengan penggunaan ubat suntikan yang lebih kuat lagi iaitu hormon yang digelar gonadotrophin kejadian kehamilan kembar meningkat berganda lebih tinggi mungkin dalam lingkungan 20 hingga 30 peratus. Ubat pil penyubur clomiphene dan suntikan gonadtrophin ini kerap digunakan oleh doktor pakar di klinik pakar mandul dan klinik pakar ginaekologi.

Jenis Kembar

Kejadian kehamilan kembar dan berganda bergantung kepada bilangan benih yang dikeluarkan oleh pihak wanita. Pada kebiasaannya seseorang wanita hanya mengeluarkan satu benih sahaja dalam satu pusingan haid. Benih ini dikeluarkan pada pertengahan pusingan haid. Setelah persenyawaan berlaku menerusi percantuman antara benih lelaki dengan benih perempuan, embryo terbentuk. Jika dua benih perempuan yang dikeluarkan serentak, maka kedua-dua benih perempuan yang disenyawa menghasilkan dua embryo berlainan.

Pasangan kembar yang dihasilkan daripada satu telur, yang kemudiannya pecah untuk menghasilkan dua jasad akan menjadi pasangan kembar satu uri. Kembar yang dihasilkan begini biasanya mempunyai jantina yang sama, sama ada keduanya lelaki atau perempuan, rupa paras yang sama dan juga sifat dan perwatakan yang hampir-hampir sama. Manakala pasangan kembar yang dihasilkan dari dua telur atau non-identical twin biasanya mempunyai jantina yang berbeza iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan dan rupa paras, perwatakan dan sifat mereka tidak sama. Dalam kembar yang sama biasanya satu uri sahaja yang dihasilkan dan uri ini digunakan bersama oleh kedua-dua bayi ketika dalam kandungan. Manakala dalam pasangan kembar yang tidak sama uri biasanya ada dua, satu bagi setiap bayi.

Identical twin dari satu embryo kebanyakan menjadi dua insan (lengkap) sama rupa,, jantina, dan lain-lain.
Kembar siam juga dari identical twins tetapi menghadapi masalah pembandingan anggota kepada dua daripada satu embryo. Dengan ini kedua jasad tidak berpisah seluruhnya tetapi sebahagian daripada anggota mereka ini akan berganding atau terbendung. Bahagian anggota yang mungkin terbendung ini berbeza antara satu pasangan kembar siam dengan yang lainnya. Ada yang berbendung di bahagian dadanya dengan berkongsi satu jantung, ada pula yang berbendung di bahagian abdomen iaitu berkongsi satu tali perut sahaja.

Pembedahan untuk memisahkan kembar siam, biasanya hanya dilakukan pada kes yang berganding pada bahagian yang kurang penting seperti bahu atau punggung. Gandingan anggota penting seperti jantung, tali usus atau otak tidak boleh dibedah. Pernah juga tercatat dalam sejarah kembar siam ini terus hidup hingga ke akhir hayat. Mereka berbendung di bahagian tubuh. Kedua kembar ini mempunyai perwatakan yang amat berlainan dan setiap seorang mempunyai isteri dan keluarga sendiri. Mereka bergilir-gilir menjalankan tugas masing-masing. Akhirnya apabila seorang mati, kembar yang kedua juga mati.

Melahirkan anak kembar adalah satu peristiwa yang sangat menggembirakan setiap ibu bapa. Kejadian ini boleh dianggap satu rahmat Tuhan kerana dia dikurniakan dua atau tiga orang anak sekaligus dalam satu kehamilan saja. Walaupun demikian, pada keseluruhannya kehamilan dan kelahiran hanya menghasilkan satu bayi sahaja. Beberapa masalah memanglah tidak boleh dielakkan apabila si ibu perlu menampung dua jasad dalam kandungannya. Ini bermakna perutnya menjadi lebih berat dan beban fizikalnya juga bertambah untuk membawa isi kandungannya ke sana ke mari.

Keperluan Zat Makanan

Ibu tersebut perlu menampung dengan lebih banyak lagi bekalan makanan yang berzat kepada bayi yang dikandungnya khususnya zat besi untuk membina darah dan vitamin asid folik.

Tegasnya, ibu perlu menambah mutu makanannya bagi tujuan itu. Pil zat besi dan asid folik mesti dan wajib dimakan oleh setiap ibu yang sedang mengalami kehamilan kembar. Jika tidak, ibu akan mengalami kekurangan darah kerana zat besi dan zat asid folik dalam tubuhnya akan diambil oleh bayi dalam kandungan untuk membina darahnya sendiri. Masalah kekurangan darah jika dibiarkan akan membahayakan serta mengancam nyawa ibu ketika kelahiran bayi kembar ini berlaku. Kejadian tumpah darah selepas bersalin lebih kerap berlaku di kalangan kembar berbanding dengan kelahiran tunggal.

Keadaan ini disebabkan oleh otot rahim menjadi kendur kerana rahim menjadi terlalu kembang untuk memulakan dua jasad. Begitu juga dengan luka di tempat uri itu melekat pada rahim.

Tempat ini biasanya berdarah sejurus selepas bayi dilahirkan dan selepas uri itu dikeluarkan. Seperti yang saya tegaskan kejadian tumpah darah selepas bersalin adalah satu sebab utama kematian ibu di Malaysia.

Gejala Kehamilan Kembar
Ibu yang sedang hamil kembar juga mungkin mengalami beberapa gejala lain seperti tekanan darahnya naik atau hypertension. Biasanya, ini disertai dengan bengkak kaki dan ‘kencing kotor’ iaitu air kencing mengandungi protein. Rangkaian tiga tanda ini kerap berlaku ketika hamil, terutamanya kehamilan kembar. Penyakit ini biasanya digelar toxaemia dan ia boleh melarat menjadi sangat terus sehingga menyebabkan sawan atau eclamptic fits.
Sawan adalah satu keadaan yang amat mencemaskan kerana ia boleh meragut nyawa seseorang ibu. Oleh itu penting bagi semua ibu mendapat jagaan yang sewajarnya ketika hamil dengan melakukan pemeriksaan di klinik untuk menentukan tekanan darah, air kencing, timbang berat dan keadaan bayi yang dikandungnya. Ini bertujuan untuk menjauhkan segala gejala dan bencana yang mungkin menimpa ibu hamil, khususnya ibu yang sedang hamil kembar.


Kelahiran Prematur

Ibu yang hamil kembar juga sering diancam oleh masalah kelahiran tidak cukup bulan. Seringkali kelahiran berlaku di peringkat lapan bulan atau lebih awal daripada itu. Ini kerana rahim menjadi kembang dan amat besar dan ia tidak berupaya untuk mengembang lebih besar lagi pada peringkat itu. Oleh itu sesetengah doktor menasihatkan ibu supaya berehat di hospital sebaik sahaja kehamilan meningkat lapan bulan sehinggalah dia melahirkan anak. Dengan berehat di hospital, masalah sakit bersalin awal dan tekanan darah tinggi mungkin boleh dielakkan atau dikawal rapi. Sayangnya, ramai wanita sukar dinasihatkan supaya masuk hospital, khususnya mereka yang datang dari luar bandar. Demi kesihatan, keutamaan yang sewajarnya patutlah diberikan untuk menjauhkan malang yang tidak berbau.

Kelahiran Di Hospital

Setiap kelahiran kembar patutlah dilakukan di hospital yang terdapat berbagai-bagai kemudahan jika berlaku sebarang masalah dan kerumitan. Kedudukan bayi dalam rahim seringkali tidak normal, adakalanya songsang atau melintang. Kelahiran bayi yang sulung biasanya jarang menimbulkan masalah tetapi kelahiran yang kedua seringkali menimbulkan kerumitan. Jika tidak dikendalikan dengan betul mungkin tangan bayi yang kedua akan keluar dahulu. Ini tentulah menimbulkan masalah kerana dalam keadaan songsang atau melintang, bayi ini mungkin perlu dilahirkan dengan pembedahan sesarean. Sebaik-baiknya semua kelahiran kembar patutlah dikendalikan oleh doktor pakar yang terlatih dalam bidang ini.

Ancaman Kepada Bayi

Bayi kembar menempuhi lebih banyak rintangan dan ancaman pada peringkat awal kehidupan sehingga umur sebulan. Kadar kematian bayi kembar lebih tinggi berbanding dengan kelahiran bayi tunggal. Tidak cukup bulan dan tidak cukup timbang berat adalah di antara sebab utama kematian bayi. Kerumitan dan kesukaran ketika kelahiran juga merupakan satu sebab mengapa kadar kematian kembar lebih tinggi. Biasanya, dalam kelahiran kembar ini, bayi kedua adalah lebih terancam daripada bayi pertama.

Bagi kembar siam, penting disahkan kehamilan itu sebelum kelahiran berlaku kerana kembar siam tidak boleh dilahirkan melalui cara biasa. Ia perlu dilahirkan menerusi pembedahan. Pengesahan ini biasanya didapati dengan melakukan X-ray pada peringkat akhir kehamilan dan daripada gambar ini beberapa tanda boleh dikesan untuk mengesahkan kejadian kembar siam. Walaupun demikian, perkara ini tidak perlu dibimbangkan kerana ia sangat jarang berlaku.

Jagaan bayi kembar juga merupakan satu cabaran kepada ibu dan bapa. Menjaga seorang bayi kadangkala boleh menimbulkan kekecohan, bagaimana pula menjaga dua orang bayi yang amat kecil dalam satu masa. Walaupun demikian, bantuan dari ahli keluarga lain bolehlah didapati khususnya dari ibu sendiri atau ibu mertua yang telah banyak pengalaman.



No comments: